Saturday, December 29, 2007

Zikir Yang Utama

Berkata para ulama rahimahumullah: Zikir yang utama ialah yang diucap oleh hati dan lisan serentak. Jika dibandingkan antara kedua-duanya, maka berzikir dengan hati tentu lebih utama daripada berzikir dengan lisan semata-mata.
Sebagai penjelasan, bahawa makna zikir dengan hati itu, hendaklah bentuk zikir yang disebut oleh lisan itu hadir di hati dan turut disebutkan oleh hati juga. Umpamanya, jika orang yang berzikir itu menyebut di lidahnya: Laa ilaaha illallah, demikian pula turut disebut oleh hati juga. Boleh juga diertikan zikir dengan hati itu, bahawa makna zikir yang disebut dengan lisan itu dihadirkan di dalam hati. Umpamanya, jika seseorang berzikir dengan lisannya: Laa ilaaha illallah, maka makna ayat tersebut yang mengertikan Tiada Tuhan selain Allah itu dihadirkan di hatinya. Wallahu a'lam.
Berkata Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimahullah: Zikir itu terbahagi kepada 4 kategori:
  1. Zikir dengan lisan sahaja
  2. Zikir dengan hati berserta lisan secara paksa
  3. Zikir dengan hati yang dibantu dengan lisan tanpa paksa
  4. Menguasai zikir di dalam hati dan menumpukannya

Kemudian Imam Ghazali memberikan interpretasinya dengan berkata,"Yang pertama sedikit faedahnya dan lemah kesannya, yakni apabila lisan berzikir sedang hati lalai." Demikianlah komentarnya.

Memang benar bahawa berzikir dengan lisan sedang itu lalai kurang faedah dan manfaatnya, akan tetapi lebih baik daripada tidak berzikir sama sekali. Sesetengah orang bertanya kepada orang arif, "Kami berzikir kepada Allah, tetapi hati kami tidak hadir." Jawabnya,"Bersyukurlah kepada Allah yang telah menjadikan salah satu anggota kamu berzikir kepada Allah, iaitu lidahmu."

Sayugialah hendaknya, apabila berzikir dengan lisan itu dihadirkan sekali hati untuk berzikir sama, supaya hati turut berzikir bersama-sama lisan sekaligus. Barangkali, mula-mula secara paksa dahulu, sehingga apabila terus dilazimkan selalu, maka kelak hati akan merasa kelazatan berzikir itu sehingga terpancarlah cahaya menyinarinya. Sesudah itu, hati akan hadir dengan sendirinya tanpa paksa atau bantuan lagi. Adakalanya hati akan terus meningkat kepada keadaan tidak sabar untuk berzikir, dan tidak lagi lengah atau lalai daripadanya.

Saturday, December 15, 2007

Setiap Hari Adalah Peluang Baru Untuk Direbut

Jika anda merasa telah mencapai apa yang anda cita-citakan, janganlah terus berpuas hati sebelum anda benar-benar telah mencecah bintang.
Menjauhkan diri daripada Allah hanya akan mendatangkan kehampaan dan rasa putus asa. Ketahuilah bahawa anugerah kecerdasan, kekuatan, kecantikan dan pengetahuan, semuanya akan berubah menjadi derita dan musibah jika tidak memperoleh taufik dan berkat dari Allah. Justeru itulah Allah mengingatkan manusia akan akibat buruk menjauhkan diri dariNya.
Sebagai contoh, katakanlah ketika anda sedang berjalan, tiba-tiba sebuah kereta dengan kelajuan yang tinggi sedang menghala ke arah anda. Anda yakin kenderaan itu pasti melanggar anda, meremukkah tubuh dan menghilangkan nyawa anda, kerana anda tidak punya masa untuk mengelak dan menyelamatkan diri. Sesungguhnya Allah ingin memberitahu hamba-hambaNya jika berhadapan dengan bencana dan kematian, kepada siapa mereka memohon keselamatan. Allah menganjurkan mereka untuk mencari keselamatan dengan cepat kepadaNya sahaja. Allah berfirman, "Maka segeralah kembali kepada Allah. Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata bagi kamu. Janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain di samping Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata bagi kamu." (Surah Az-Zariyat:50-51)
Peringatan 'kembali' di sini adalah membaharui jiwa, mengatur semula cara hidup, menjalin hubungan lebih baik dengan Allah, meningkatkan amal dan membuat janji sebagaimana termaktub dalam doa ini:
"Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Aku berada dalam janji dan akan menepati perjanjian itu semampuku. Aku berlindung daripada perbuatan buruk yang aku lakukan. Aku mengakui nikmatMu padaku. Aku mengakui dosaku. Ampunilah dosaku, sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau."
Pedoman Hidup
Jika dalam pekerjaanmu bertembung dengan masalah, jangan berputus asa, jangan susah hati dan bimbang. Yakinlah bahawa jalan keluar akan segera datang.
Melontarkan senyuman kepada saudaramu adalah sedekah.

Hilangkan Duka Nestapamu

Hilangkan Duka Nestapamu Dengan Taqarrub kepada Yang Maha Mengetahui Yang Ghaib

Syeikh Ibnu al-Jauzi berkata, "Ketika aku berdepan dengan satu masalah yang menyesakkan dada sekian lama, aku berusaha menyelesaikan kebingungan ini dengan berfikir keras. Namun tidak kutemui jalan penyelesaiannya...kemudian aku ditunjukkan sepotong ayat, "Sesiapa bertaqwa kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar." (Surah At-Talaq:2). Selepas itu aku sedar bahawa ketaqwaan adalah jalan keluar dari kebingungan. Itu sebabnya aku berusaha meningkatkan ketaqwaanku, dan kutemui jalan keluar."
Aku pun mengambil kesimpulan, "Kebaikan bagi orang yang berakal adalah ketaqwaan. Tidak ada siksa kecuali kerana adanya dosa dan tidak seorang pun diangkat darjatnya kecuali dengan bertaubat. Sesungguhnya kekeruhan fikiran, kesedihan dan kegelisahan adalah akibat perbuatan maksiat yang anda lakukan, seperti lalai dalam sembahyang, mengumpat wanita muslimah, meremehkan hijab atau melakukan hal-hal yang diharam dan dimurkai Allah.
Sesungguhnya sesiapa yang melanggar ketentuan Allah terpaksa membayar perbuatannya dan perlu melangsaikan kelalaiannya. Yang menciptakan kebahagiaan adalah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, lalu mengapa anda memohon kepada yang lain? Jika manusia yang menguasai kebahagiaan, maka tiada orang yang miskin, orang yang sedih dan orang yang gundah-gulana.
Pedoman Hidup:
Tidak usah terlalu berfikir tentang sesuatu yang tidak penting dan membuatmu tidak bermaya. Eloklah lupakan sahaja. Sebaliknya, tumpukanlah fikiran untuk kejayaan kerana dengan begitu hatimu tidak akan terganggu.
"Aku adalah sebagaimana persangkaan hambaKu kepada Ku".

Thursday, December 13, 2007

Jika Anda Tidak Bahagia, Anda Tidak Mampu Membahagiakan

Kedudukan yang mulia ketika hidup dan selepas mati adalah salah satu kelebihan.
Menurut Orizon Sweat, "Napoleon sangat bertuah kerana dapat menyunting Josephine sebagai isteri dan pendamping hidupnya sebelum ia menjadi pemimpin dan melakukan banyak penaklukan. Tutur kata yang lembut dan peribadinya yang istimewa lebih kuat berbanding pengabdian dari sejumlah pengikut Napoleon. Ia mampu membahagiakan orang-orang yang ada di sekitarnya. Ia tidak pernah memerintah orang lain secara langsung, bahkan walaupun pada hamba sahayanya. Keperibadiannya itu boleh dilihat dalam ucapannya kepada salah seorang yang ada di sekelilingku menikmati kebahagiaan dalam hidup mereka."
Tidak menghairankan apabila ada penyair Inggeris menyanjung dan memujinya,"Alangkah indahnya pagi ketika ia melalui sebuah jalan, dan keindahan pagi itu berterusan hingga ke siang. "Memang benar kelembutan itu akan menebarkan kebahagiaan di antara kita dan orang-orang di sekitar kita, bahkan pada benda mati di sekitar kita. Kelembutan adalah kecantikan abstrak tanpa batas. Bagi lelaki, kelembutan itu sama pentingnya dengan kecantikan bagi seorang perempuan. Bagi perempuan, kelembutan itu akan semakin menambah kecantikan sedia ada.
Wanita jenis apakah yang tergamak mempamerkan kecantikan tubuhnya di hadapan anjing dan serigala lapar berbentuk manusia?
Kenalilah Allah dalam suka, maka Ia akan mengenalmu dalam duka.

Mengapa Tidak Bersyukur Kepada Allah?

Salah satu cara yang paling mudah tetapi berkesan untuk dapat hidup tenang dan beroleh kedamaian ialah bersyukur kepada Allah. Ia adalah metod yang paling baik untuk mencapai kebahagiaan dan terbebas dari tekanan, sebab ketika anda bersyukur itu, bererti anda menghadirkan kembali nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada anda oleh Allah S.W.T. sebagaimana disebut oleh salafussoleh dahulu: "Untuk mengetahui sebanyak mana nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu, maka pejamkan mata anda. Hadirkanlah nikmat-nikmat Allah kepadamu, seperti pendengaran, penglihatan, akal, agama, keturunan, rezeki dan yang seumpamanya."
Sesetengah wanita memandang rendah nikmat yang ada padanya. Sekiranya ia melihat orang lain yang fakir dan miskin, yang sakit dan orang-orang yang terlantar, maka ia akan memuji Allah atas nikmat yang ada padanya, walaupun dia tinggal di rumah yang kecil.
Tetaplah memuji Allah yang menganugerahkan pelbagai nikmat kepada anda. Sesekali cubalah bandingkan dirimu dengan mereka yang cacat tubuh badan, terencat akal, tiada pendengaran, mempunyai anak-anak yang cacat dan lain-lain. Mereka yang seperti itu juga ramai bilangannya.
Berilah kesenangan kepada ibu bapa yang kehilangan anak dengan ucapan yang baik. Hapuslah airmata orang-orang yang kelaparan dengan menghulurkan bantuan. Tidak mungkin satu keadaan tidak berubah dengan keadaan lainnya.

Tuesday, December 11, 2007

Penawar Hati



Dalam tubuh manusia ada sekeping hati yang mana jika elok ia, maka eloklah peribadi si pemilik tubuh itu. Jika rosak hati, maka rosaklah peribadi si pemiliknya. Hati yang suci dan bersih terpamer di wajah si pemiliknya. Wajahnya tenang lambang hatinya tabah dengan setiap nikmat dan ujian dari Allah. Itulah kesan hatinya yang sentiasa bersangka baik dengan Rabbnya.



Penawar bagi hati yang rosak, dengan mendekatkan diri pada Allah, Maha Pencipta lagi Maha Pengasih. Sucikanlah hati dengan memperbanyakkan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan memahami makna yang tersirat. Al-Quran sudah dikenali sebagai penawar segala penyakit. Membacanya dengan tartil, khusyuk dan rendah diri...menginsafkan diri kita sebagai hamba kepada Pencipta yang Maha Kaya. Diturunkan Al-Quran buat mengisi di setiap pelusuk hati insan, yang membacanya dengan ikhlas kerana Tuhannya. Jika kita benar-benar memahami isi kandungan mukjizat Rasulullah S.A.W. yang paling besar itu, menginsafkan kita betapa kerdilnya diri kita sebagai hamba. Di dalamnya diceritakan kisah umat-umat terdahulu yang menginsafkan kita bahawa balasan Allah bagi mereka yang zalim itu benar.

Di keheningan malam, adalah suatu waktu yang mana jiwa kita merasa tenang. Pada waktu semua insan diulit mimpi indah, kita bangun menghadap Yang Maha Pencipta. Pada waktu itulah segala rintihan hambaNya didengar oleh Allah. Dari Abu Hurairah r.a katanya;” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.” (Muttafaqun ‘alaih).
Di antara kelebihan solat malam:

  • Solat Paling Afdhal Setelah Solat Fardhu
    Solat yang paling afdhal setelah solat wajib adalah qiyamullail (tahajjud).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • Waktu Mustajabnya Doa
    Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim).
  • Lebih Baik Dari Dunia dan Seisinya
    "Dua raka’at yang dilakukan oleh seorang hamba di tengah malam itu adalah lebih baik baginya daripada dunia ini serta seluruh isinya." (HR Adam bin Abu Iyas)
  • Meningkatkan Darjat Di sisi Allah
    Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).
    Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah lagi bermaksud: “
    Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang.
    "Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya
    .” (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih).
  • Ibadah Ahli Syurga
    Firman Allah lagi dalam surah as Sajdah, ayat ke-16 dan 17 bermaksud: “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
    Orang-orang yang bertaqwa itu sedikit sekali tidurnya di waktu malam. Di waktu menjelang fajar pagi, mereka itu berdoa memohonkan pengampunan dan dari sebahagian hartanya dijadikan hak yang diberikan pada yang meminta dan yang kekurangan.” [Surah Az-Dzaariyaat: 17-19]
    Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Hendaklah kamu semua menetapi solat malam, sebab yang demikian itu adalah perilaku orang-orang yang soleh sebelum kamu.” (HR Tirmidzi)
    Dari Abdullah bin Salam r.a bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, bersolatlah di waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat.” (HR Tirmidzi).


Bagaimana cara mudah untuk bangun solat malam?
Petua dari Imam Al-Ghazali:
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.
3. Mengetahui dan menginsafi benar-benar keutamaan solat malam dengan mentadabburi selalu ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.
4. Meningkatkan rasa cinta kepada Allah, rasa cinta yang sebenar-benarnya. Istiqamah dalam beribadah di waktu malam itu merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih-Nya. Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.



Zikrullah salah satu ubat untuk menyembuhkan hati yang sakit. "Ingatlah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang," firman Allah. Zikir dengan suara yang boleh didengar atau di dalam hati akan menenangkan jiwa yang resah. Zikrullah dilafazkan dengan lidah, dihadirkan dengan hati dan diamalkan dengan perbuatan. Perasaan tenang akan hadir bila merasakan diri berhubung secara langsung dengan Allah. Orang yang mengingati Allah di dunia ini memperolehi ketenangan jiwa, sementara di akhirat pula mendapat keampunan dan ganjaran yang besar. Firman Allah bermaksud: “… dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Dengan mengingati Allah akan tersedar hati orang yang beriman terutama ketika syaitan menjerumuskannya kepada dosa sehingga melakukannya, dia tidak biarkan dalam keadaan demikian.

Dia akan mengingati bahawa dia ada Tuhan yang sedia memberi keampunan dan menerima taubat, sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, ayat 135].

Seterusnya ialah puasa. Dengan berpuasa dapat membersihkan jiwa dan kekotoran dalam hati. Tujuan Allah mewajibkan umat Islam berpuasa ialah untuk kita merasakan kelaparan sepertimana mereka yang fakir dan miskin tidak dapat makan dan minum. Puasa juga menginsafkan diri kita akan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain. Salah satu cara menahan nafsu juga dengan berpuasa. Sebaik-baik puasa adalah puasa Nabi Daud a.s. Ia berpuasa sehari dan berbuka sehari. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan dari Allah. Yang pertama ketika ia berbuka dan keduanya ketika bertemu dengan Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah Al Baqarah, ayat 183).


Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, tingkatan puasa diklasifikasi kepada tiga, iaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus lagi.
Puasa umum adalah tingkatan yang paling rendah iaitu menahan dari makan, minum dan jima'. Puasa khusus, di samping menahan yang tiga hal tadi, juga memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Sedangkan puasa khusus yang lebih khusus adalah puasa hati dari segala kehendak hina dan segala fikiran duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain Allah.
Puasa level ketiga tadi adalah puasanya para nabi-nabi, shiddiqin, dan muqarrabin. Sedangkan puasa level kedua adalah puasanya orang-orang salih - puasa tingkat ini yang seharusnya kita tuju untuk mencapainya.

Selanjutnya Imam Al Ghazali menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua itu. Pertama, menahan pandangan dari segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta dari tiap-tiap yang membimbangkan dan melalaikan dari mengingat Allah. Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa meninggalkan pandangan karena takut kepada Allah, niscaya Allah menganugerahkan padanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya.


Kedua menjaga lidah dari perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca Alquran. "Dua perkara merusakkan puasa," sabda Rasulullah SAW, "Yaitu mengumpat dan berbohong."

Ketiga, menjaga pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik, karena tiap-tiap yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah SAW menjelaskan: Yang mengumpat dan yang mendengar, berserikat dalam dosa. Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa. Seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan yang syubhat dan haram.
Kelima, tidak berlebih-lebihan dalam berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak akan dapat memetik manfaat dan hikmah puasa. Bagaimana dia berusaha mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika saat berbuka dia justru memanjakan nafsunya dengan makanan yang terhitung banyak dan jenisnya.
Keenam, hatinya senantiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), karena tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan, sedangkan penuh harap berperanan dalam menumbuhkan optimisme.

Ubat hati seterusnya ialah berkumpul dengan orang-orang soleh. Itu salah satu ubat hati yang rosak. Allah mengasihi hamba-hambaNya yang patuh pada suruhanNya. Dan orang yang paling takut kepada Allah adalah golongan ulama. Nabi s.a.w. telah meninggalkan kita 1400 tahun yang lalu. Yang menyambung seruan baginda pada hari ini adalah para ulama. Dengan menghampiri golongan ini, Allah memimpin kita sepertimana Allah menganugerahkan kelebihan kepada golongan ulama.

Golongan solihin sentiasa mendekatkan diri mereka kepada Allah. Mereka memandang dunia hanya sementara untuk menuju akhirat. Segala hidup mereka dikhususkan ke jalan Allah. Kata-kata yang keluar dari mulut mereka tidak lepas dari membesarkan Allah Yang Maha Esa. Tingkah laku mereka sebenarnya mengajak kita menuruti mereka ke jalan Allah.

Antara manusia yang tidak akan rugi ialah mereka yang beramal soleh atau mengerjakan kebajikan. Orang yang meninggal dunia tanpa sebarang kerja kebajikan atau amal soleh akan rugi kerana mereka akan diseksa di dalam api neraka. Nasib kita di akhirat tidak sekali-kali bergantung kepada harta kekayaan, kedudukan pangkat atau pengetahuan tetapi sebaliknya ia dinilai dengan amal solehnya. Sungguhpun begitu ada juga orang yang rajin membuat amal kebajikan tetapi sayangnya tidak mempunyai keimanan terhadap Allah. Golongan seperti ini adalah rugi juga kerana tidak mempunyai asas aqidah terhadap Allah yang wajib ada dalam setiap individu. Kesemua amalan kita tidak akan diterima Allah jika tidak berpaksi kepada dasar keimanan kepada Allah.

Oleh sebab itu, kita seharusnya menggunakan masa hidup kita yang tidak lama ini untuk melakukan amal soleh sebanyak--banyaknya. Alangkah ruginya seseorang yang berbadan sihat, tegap,mempunyai hartabenda yang banyak tetapi seluruh kekuatan, kesihatan dan harta bendanya digunakan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja. Lebih dahsyat lagi jika ia digunakan untuk melakukan maksiat, aniaya, fitnah dan menzalimi orang lain. Sepanjang hidup ini kita tidak lari dari melakukan 2 perkara sama ada amal soleh (baik) atau amal tholeh (jahat). Orang yang berjaya ialah mereka yang beramal soleh bukan beramal tholeh. Diri kita adalah sebaik-baik kompas untuk menilai yang soleh atau sebaliknya. Namun tidak semua orang dapat memberikan penilaian yang tepat, malah ada orang memandang kebajikan itu sebagai kejahatan dan kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Kesemua ini memerlukan ilmu yang menjadi syarat untuk memberikan penilaian yang benar dan tepat berlandaskan syariat Islam.

Amal kebajikan boleh diusahakan dengan pelbagai cara sama ada dengan material atau menggunakan anggota badan. Menasihat kawan adalah kebajikan. Membuang duri di jalan juga satu kebajikan. Memberi makan kepada binatang juga kebajikan; apatah lagi memberi makan kepada fakir miskin. Pendek kata jika kita tahu caranya, semua aktiviti kita boleh dikategorikan kepada amal kebajikan.


Dengan melakukan amal kebajikan belum menjamin keselamatan seseorang selagi tidak meninggalkan kejahatan. Antara dua perkara iaitu membuat makruf (kabajikan) dan meninggalkan mungkar (kejahatan), yang kedua amat sukar dilakukan. Ramai orang mampu membuat kebaikan tetapi untuk meninggalkan kejahatan tidak semudah itu. Contohnya ramai wanita boleh bersolat 5 waktu tetapi tidak sanggup menutup aurat atau mengumpat. Ada ulama berpendapat sebelum mengerjakan kebajikan hendaklah terlebih dahulu meninggalkan maksiat dengan cara bertaubat nasuha. Sungguhpun begitu dalam keadaan-keadaan tertentu, amal kebajikan yang kita buat dapat juga menghapuskan kejahatan-kejahatan. Namun yang lebih baik ialah sebelum melakukan kebajikan, perlulah membuang segala amal kejahatan terlebih dulu. Ini bermakna kita hendaklah mengosongkan diri kita dari segala maksiat sebelum melakukan kebajikan; sesuai dengan sunnah Nabi yang dibedah sebelum dibawa melakukan perjalanan Isra' dan Mikraj.

Demikianlah saudara, setiap hati itu perlu dirawat setiap ketika. Kerana sifat manusia, sering leka dan lupa. Hati yang berkarat perlu digilap agar bersinar kembali dan mendapat sinar cahaya dari Allah. Semoga redha Allah mendahului setiap perbuatan kita. "Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agamaMu ".