Saturday, February 2, 2008

Pemuda dan Al-Ainaa'ul Mardhiyah

Pada suatu hari ketika Abdul Wahid bin Zaid dalam majlis, telah siap untuk keluar berperang bersama dengan tentera Muslim lainnya, dia telah menyuruh kawan-kawannya untuk membacakan ayat yang maksudnya, "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang Mukmin jiwa dan harta mereka akan dibayar dengan syurga."
Tiba-tiba ada seorang pemuda yang baru ditinggalkan ayahnya dan telah menerima warisan besar bertanya, "Ya Abdul Wahid. Allah telah membeli dari orang Mukminin jiwa dan harta mereka untuk dibayar dengan syurga?" Jawab Abdul Wahid bin Zaid, "Benar, sayangku." Lalu pemuda itu berkata, "Aku bersaksikan padamu bahawa aku telah menjual jiwa dan hartaku untuk mendapat syurga" Abdul Wahid menjawab pula, "Runcingnya pedang itu berat dan kamu masih muda, dan aku bimbang engkau tidak sabar dan tidak kuat."
Lantas pemuda itu berkata, "Aku berbai'at kepada Allah, dan tidak sabar, aku persaksikan kepada Allah bahawa aku berbai'at menjual semua harta dan jiwaku itu padaNya." Jawab Abdul Wahid, "Aku merasa kecil dan rendah diri ketika melihat seorang pemuda yang sedemikian sambutannya terhadap ayat Al Quran sedang kami belum sedemikian."
Lalu pemuda itu mendermakan semua hartanya kecuali kuda dan senjata serta sedikit bekal untuk keperluan jihadnya. Kemudian ketika tiba satu saatnya keluar ke medan juang, ia datang kepada Abdul Wahid dan berkata, "Assalamu alaikum wa Abdul Wahid." Salam itu dijawab oleh Abdul Wahid seraya berkata,"Sungguh beruntung jual belimu." Lalu Abdul Wahid bersama bala tentera Islam berjalan ke medan perang dan ia tetap puasa siang dan solat malam, bahkan dialah yang melayani segala keperluan tentera-tentera Islam itu. Dan berjaga jika semuanya tidur, sehingga sampailah ke perbatasan negeri Rom. Mendadak ketika saat berhadapan dengan tentera Rom, pemuda itu datang menyerbu sambil berseru dengan suara lantang, "Alangkah rinduku kepada Al-Ainaa'ul Mardhiyah." Kemudian Abdul Wahid mendekati pemuda itu dan bertanya, "Siapakah Al-Ainaa'ul Mardhiyah?" Lalu jawab pemuda itu, "Aku tertidur sebentar tadi, tiba-tiba aku bermimpi ada seorang datang dan berkata, "Pergilah kepada Al-Ainaa'ul Mardhiyah." Lalu dalam mimpi itu aku dibawa ke kebun yang dikelilingi oleh sungai dan di tepi sungai banyak gadis yang lengkap perhiasannya, dan ketika mereka melihatku, tiba-tiba mereka berkata, "Itulah suami Al-Ainaa'ul Mardhiyah."
Kemudian aku memberi salam kepada mereka dan bertanya,"Apakah di antara kamu Al-Ainaa'ul Mardhiyah?" Jawab gadis-gadis itu, "Kami ini hanya pelayan-pelayannya."
Lantas aku berjalan terus dan ketika sampai ke sungai susu yang tidak berubah warna dan rasanya, dan di tepi sungai itu banyak gadis yang amat cantik dan lengkap dengan perhiasannya, mereka juga berkata,"Inilah suami Al-Ainaa'ul Mardhiyah."
Lalu aku ucapkan salam kepada mereka dan bertanya, "Apakah ada di antara kamu sekelian ini Al-Ainaa'ul Mardhiyah?" Jawab gadis-gadis itu, "Wahai kekasih Allah, kami semua ini hanya pelayan-pelayannya. Engkau berjalanlah terus."
Maka aku terus berjalan hingga sampai di sungai anggur dan di tepi sungai itu ada gadis-gadis cantik yang sangat menawan hatiku, dan setelah aku memberi salam kepada mereka lalu aku bertanya. "Adakah ada di antara kamu semua ini yang bernama Al-Ainaa'ul Mardhiyah?" Jawab mereka, "Kami hanyalah pelayan-pelayannya sahaja. Kamu berjalanlah terus."
Aku terus berjalan hingga sampai pada sungai madu, dan melihat gadis-gadis yang berkilauan kecantikan dan keindahannya sehingga dapat melupakan kecantikan gadis-gadis sebelumnya lalu di situ. Aku ucapkan salam kepada mereka dan aku mengulangi pertanyaan seperti kuajukan kepada gadis-gadis sebelum itu. Jawab mereka, "Wahai kekasih Allah, kami ini hanya pelayan-pelayannya sahaja. Kamu berjalanlah terus."
Maka aku pun berjalanlah dan sampai ke sebuah khemah yang dibuat daripada permata yang serba putih dan di muka pintu khemah itu ada gadis yang dihias dengan perhiasan dan kecantikan yang tidak dapat kukatakan, dan ketika melihat kepadaku, segera ia memanggil, "Hai Al-Ainaa'ul Mardhiyah, inilah suamimu telah datang."
Akupun segera masuk ke dalam khemah itu. Tiba-tiba bertemu dengan gadis yang sedang duduk di atas tempat tidur emas dihiasi pelbagai permata, berlian dan yaqut. Maka ketika melihat kepadanya aku tidak dapat menahan diri dan disambut olehnya, "Marhaban wahai kekasih Allah. Sudah hampir kedatanganmu kepadaku."
Segera aku cuba memeluknya, tiba-tiba ia berkata, "Sabar dahulu. Kamu belum diizinkan untuk memelukku sebab kamu masih hidup, tetapi malam ini kamu akan berbuka puasa di sini."
"Maka terbangunlah aku dari tidur wahai Abdul Wahid dan kini aku tidak sabar tinggal lebih lama."
Setelah mendengar keterangannya, tiba-tiba kelihatan pasukan musuh dan segeralah pemuda itu meju menyerang musuh sehingga ia dapat menghitung sembilan orang tentera musuh yang dibunuhnya. Dan dialah yang kesepuluh yang gugur berlumuran darah sambil tertawa, lalu ia meninggal dunia.
Nah, daripada cerita di atas, dapatlah kita mengambil contoh untuk menjadi hamba Allah yang mempunyai semangat juang dalam menegakkan agamanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang mendermakan hartanya untuk jalan Allahdan berjihad sedang ia sendiri tinggal di rumahnya, maka untuk setiap sen mendapat tujuh ratus dirham dan barangsiapa yang keluar berjihad di jalan Allah dan menderma hanya untuk jihad maka ia mendapat pahala untuk setiap sen tujuh ratus ribu pahala." Kemudian Nabi s.a.w. membaca ayat yang bermaksud, "Dan Allah melipatganda bagi sesiapa yang dikehendakiNya."
Semoga kita dijadikan Allah sebagai hambaNya yang gemar menderma harta untuk jihad dan sekaligus mencurahkan segenap tenaga dan fikiran ke jalan Allah.
Wallahu a'lam.