Friday, July 25, 2008

Sifat-Sifat Orang Yang Sombong

  • Memandang rendah kepada orang lain, terutamanya orang yang difikirkan kurang daripada dirinya.
  • Menghina, memalukan, menengking, memarahi, mengamuk, berang, memaki hamun, mencerca, meninggikan suara, bermasam muka membeliakkan mata terhadap orang yang dipandang rendah itu.
  • Tidak menerima pendapat orang lain, walaupun benar.
  • Bila di dalam majlis, ia sahaja yang bercakap, yang pada pandangannya paling bernas.
  • Ia tidak suka menziarahi orang, tetapi meminta orang menziarahinya.
  • Bila berjalan, dengan penuh rasa angkuh dan bangga. Apabila tiba di hadapan orang, ia terus bercekak pinggang dan wajahnya diseriuskan tanpa rasa belas kasihan dan kasih sayang.
  • Ia tidak duduk bersama dengan orang yang kedudukannya lebih rendah darinya.
  • Ia mahukan kemajuan dan kebenaran hanya datang darinya, bukan daripada orang lain.
  • Tidak mahu bertolak ansur, tidak bertimbang rasa, tidak suka bekerjasama, tolong-menolong dan tidak menghormati orang lain.

Golongan Manusia

Terdapat 8 kategori Manusia di atas muka bumi ini.

1. Mukmin

Iaitu orang yang mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. adalah benar datangnya daripada Allah SWT. Segala pengetahuan yang diperolehinya digunakan untuk menguatkan iman yang ada dalam hatinya. Orang lelaki yang beriman dipanggil mukmin sedangkan orang perempuan yang beriman dipanggil mukminah.

2. Muslim

Muslim adalah orang yang tunduk dan patuh kepada segala sesuatu yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Ia mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Islam. Lelaki Islam disebut sebagai Muslimin dan wanita Islam disebut Muslimah. Antara iman dan Islam tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya mempunyai hubungan yang sangat rapat.

3. Kafir

Iaitu orang yang mengingkari kebenaran agama Islam, tidak mengetahui keEsaan Allah dan tidak mempercayai kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. Orang kafir ini boleh memeluk Islam jika ia yakin akan keEsaan Allah dan kebenaran Rasulullah S.A.W. dibuktikan dengan mengucapkan dua kalimah syahadat.

4. Murtad

Iaitu orang yang telah keluar daripada agama Islam baik secara langsung atau tidak. Sama ada ia menganut agama lain atau kembali kepada agama asalnya setelah ia memeluk agama Islam, ataupun ia tidak menganut mana-mana agama. Orang yang murtad ini segala amalannya akan gugur dan akan dimasukkan ke dalam api neraka oleh Allah SWT.

5. Munafik

Iaitu yang menurut zahirnya beragama Islam tetapi hatinya tidak beriman. Atau boleh juga dikatakan munafik iaitu orang yang berpura-pura beragama Islam tetapi hatinya tidak sama dengan apa yang diucapkan.

6. Syirik

Iaitu orang yang menyekutukan Allah atau menganggap sesuatu itu sama dengan Allah. Mereka mempercayai kuasa selain daripada Allah, seperti menyembah berhala, pohon-pohon besar, bahkan menyembah nenek moyang mereka. Orang yang syirik dipanggil musyrik.

7. Fasiq

Iaitu orang yang keluar daripada jalan kebenaran dan tidak mempedulikan segala perintah Allah SWT. Mereka menyelesaikan masalah bukan mengikut lunas-lunas Islam tetapi hanya hawa nafsu.

8. Zalim

Orang zalim itu adalah orang yang berhati kejam. Di dalam hati mereka tidak memiliki rasa takut kepada Allah dan mereka tidak beriman serta tergolong dalam orang-orang yang kufur. Allah SWT sangat benci kepada orang-orang yang zalim.