Monday, September 22, 2008

Hadith :
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(HR Bukhari & Muslim)

Huraian

1. Kelebihan bulan Ramadhan ialah meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan pada masa yang sama Allah SWT menutup pintu neraka dan merantai segala syaitan yang berkeliaran

2.. Umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengamalkan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah serta tidak berpuasa melainkan kerana iman dan tidak kerana riya' (agar dilihat orang), sum'ah (agar didengar orang), ikut-ikutan, maka baginya keuntungan dan pahala yang berlipat ganda banyaknya bahkan syaitan sedikitpun tidak diberi kesempatan untuk menggoda atau menghasut mereka.

3. Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Yang diperolehinya hanyalah lapar dan dahaga dan Allah SWT tidak akan menerima amalannya.

Thursday, September 11, 2008

Adab Menguap dan Bersin

Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Baginda Rasulullah saw bersabda
bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt suka orang yang bersin, dan membenci orang
yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan
'Alhamdulillah' , maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula
mengucapkan 'Yarhamukallah! '.


Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap,
hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila
seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya. (Hadith Riwayat Bukhari)


Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang
bermaksud: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya
pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang
terbuka.” Riwayat Imam Muslim


Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang
yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang
kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan
yang mentertawakanmu.” Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi


Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya: Telah bersabda Rasulullah saw yang
bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt membenci sesiapa yang mengangkat suara
ketika menguap dan bersin.” Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi .


Pengajaran daripada maksud hadith, antara adab-adab menguap dan bersin:
1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika solat.
2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di
luar solat.
3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin.
4. Sunat ketika bersin mengucapkan“Alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya pula mengucapkan “Yarhamukallah” .
5. Sunat mengucapkan “Astaghfirullah” selepas menguap.