Tuesday, June 2, 2009

Gadis Yang Terbakar Tangannya

PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.

"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan
tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.

Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"

"Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.
Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."

"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.

"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.

"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.
"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.

"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.

"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.

Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.

Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.

Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.

Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".

S etelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."

Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.

[Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.]

Monday, May 4, 2009

Kesilapan masyhur dalam sembahyang

SEMBAHYANG adalah hubungan paling kuat antara makhluk manusia dengan tuhan pencipta alam semesta. Sembahyang seolah-olahnya satu perhubungan secara langsung, bertutur, memuji, meminta dan apa sahaja hajat dapat dikemukakan oleh hamba Allah yang soleh kepada Allah SWT, tuhan yang mentadbirkan alam ini.

Jika seseorang hamba Allah, mengerjakan sembahyang dengan kehendak-kehendaknya yang sebenar, sembahyang dapat memberikan kesan positif yang mendalam dan motivasi yang kuat ke dalam dirinya.

Sembahyang yang sempurna dapat mencegah orang yang mengerjakannya daripada melakukan maksiat dan perkara mungkar, serta menggalakkan seseorang itu mengerjakan perkara makruf dan perkara kebaikan.

Sembahyang adalah berat untuk dilaksanakan, tetapi bagi mereka yang telah mengasuh anggota zahirnya dan hatinya untuk tunduk dan patuh kepada tuhan pemberi segala nikmat dan rahmat, sembahyang akan dianggap sedikit demi sedikit sebagai ringan dan akhirnya sebagai suatu keperluan asasi setiap manusia.

Sembahyang kalau ditunaikan dengan cara yang diajarkan oleh syarak, dengan menyempurnakan adab-adab, mustahab-mustahabnya, syarat-syarat dan rukun-rukunnya, sudah pasti akan membuahkan bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi akan terpancar juga menyimbahi kepada orang lain ibarat minyak wangi tersebar serata tempat.

Ubat Penyakit Rohani

Alhamdulillah, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan sembahyang sebagai tiang agama, pegangan kuat keyakinan, ketua segala amalan taqarrub, kemuncak ketaatan. Benar sabda Nabi Muhammad tatkala menyebutkan, sembahyang telah dijadikan untukku sebagai penyejuk jiwaku.

Perlunya sifat takwa dipupuk dalam diri seseorang muslim kerana sesetengah manusia pada kebiasaannya tenggelam dan hanyut dalam keduniaan mereka.
Dunia adalah seperti kalau diberikan satu padang emas akan diminta satu padang emas lagi. Kalau kita kejar dunia, dunia akan menjadi lebih laju daripada kita. Kesannya menyebabkan hati menjadi rapuh, jiwa menjadi longgar, percakapan menjadi celaru, mata menjadi liar, mulut terkumat-kamit benda remeh-temeh.

Kenapa berlaku assabiyah? Tidakkah kerana kejar dunia? Kenapa berlaku pergolakan politik yang tidak berkesudahan. Kenapa kita tidak tinggalkan kepentingan sendiri untuk kebaikan semua. Tidakkah kerana kejar dunia? Kenapa berlaku lemah semangat, celaru fikiran?
Natijahnya tidaklah pelik kalau berlaku rasukan, kacau pertimbangan, rosak pegangan dan longgar tawakal.

Bolehkah ubat-ubatan menyembuhkan penyakit-penyakit ini? Sudah tentu tidak. Maka Islam datang untuk menyelesaikan masalah penyakit ini dengan membawa sembahyang sebagai ubat paling mujarab.

Lihatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 45, yang bermaksud: dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, apabila Rasulullah ada sesuatu masalah, Rasulullah akan bersegera tunaikan sembahyang. (riwayat Ahmad, Abu Daud daripada Huzaufah).

Ayat-ayat dan hadis di atas membuktikan bahawa sembahyang adalah hubungan paling mesra antara hamba dan Allah. Ini kerana sembahyang memberikan kesan paling baik memperbaiki diri seseorang manusiadan juga masyarakat.

Persoalannya, solat yang bagaimanakah dapat mengesankan ke dalam diri seseorang manusia? Yang dapat menghindarinya daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat? Yang dapat menolongnya menyelesaikan masalah-masalah dunia dan akhiratnya.

Sembahyang Yang Sepatutnya

Setiap sembahyang yang kita lakukan, sebelumnya dan di dalamnya ada syarat-syarat sembahyang dan rukun-rukun sembahyang, ada adab-adab sembahyang dan ada wajib-wajib sembahyang.

Setiap satunya mestilah disempurnakan dengan selayak yang mungkin. Selain itu, ada juga kesilapan-kesilapan yang boleh merosakkan sembahyang, yang berhajat setiap orang Islam mengambil berat dengannya dan dapat menjauhkan diri daripada melakukannya.
Dalam musnad Imam Ahmad, Nabi Muhammad ada bersabda, yang bermaksud, Sesungguhnya pencuri yang paling keji sekali ialah pencuri yang mencuri di dalam sembahyangnya. Hadis ini memaksudkan bahawa mereka tidak menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan tidak khusyuk dalam sembahyangnya.

Dalam hadis yang lain, yang bermaksud, sesungguhnya ada orang yang sembahyang, apabila dia selesai menunaikan sembahyang, malaikat menulis pahala sembahyangnya hanya satu perempat sahaja, ada yang satu perlima sahaja, dan ada yang hanya satu persepuluh sahaja.
Pahala sembahyang akan berkurangan kerana kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Hadis-hadis ini menyingkapkan suatu rahsia bahawa seseorang yang bersembahyang, hendaklah memberi perhatian yang tegas dalam permasalahan-permasalahan sembahyang agar mendapat pahala paling kurang pun, hampir-hampir penuh, kalau tidak penuh pun.

(Dipetik daripada artikel saudara Mohd. Roslan Abdul Ghani -Unit Penerbitan Bahagian Agama di Majlis Agama Islam Kelantan.)

Friday, April 3, 2009

Sebab-sebab Terkabulnya Doa

Alhamdulillah, jika sebelum ini kita disajikan dengan sebab-sebab doa tertolak, kini cuba kita lihat, apakah sebab-sebab terkabulnya sesuatu doa.
  1. Berdoa dengan ikhlas kerana Allah.
  2. Dimulakan dengan memuji Allah den membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. serta diakhiri dengan membaca selawat dan memuji Allah.
  3. Teguh hati dalam berdoa dan yakin akan terkabul.
  4. Tidak mendesak supaya segera mengabulkannya.
  5. Hadir hati atau khusyuk dalam berdoa.
  6. Doa yang dipanjatkan dalam keadaan lapang dan sempit (terdesak).
  7. Tidak meminta kecuali kepada Allah sahaja.
  8. Menyederhanakan suara ketika berdoa, iaitu antara kuat dan perlahan.
  9. Mengakui dosa-dosa yang telah dilakukan serta diiringi ucapan-ucapan istighfar, dan mengakui nikmat yang sudah diberikan Allah serta bersyukur kepada Allah.
  10. Tidak bersajak dalam berdoa.
  11. Merendah diri, mengharap dan takut doa tidak dikabulkan.
  12. Tidak berbuat zalim dan diiringi dengan bertaubat.
  13. Berdoa dengan menyebut tiga kali.
  14. Menghadap kiblat.
  15. Mengangkat dan menadah kedua-dua tangan ketika berdoa.
  16. Dalam keadaan berwuduk.
  17. Tidak meminta keterlaluan (duniawi sahaja).
  18. Terlebih dahulu berdoa untuk diri sendiri sebelum memohon untuk orang lain.
  19. Berdoa secara tawassul dengan perantaraan nama-nama Allah yang indah (Asma ul Husna), dengan sifat, atau dengan perantaraan amal soleh yang telah dilakukan.
  20. Memakan makanan dan minuman dan memakai pakaian dari sumber yang halal.
  21. Tidak memutuskan silaturrahim.
  22. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Firman Allah "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina." (Al-Mukmin:60)

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiadalah seorang Muslim yang berdoa kepada Allah melainkan Allah memperkenankan doanya itu dengan tiga cara:

  1. Ditunaikan dengan segera doanya itu; atau
  2. Ditangguhkan permintaannya dan diberikan di akhirat kelak; atau
  3. Dihalang daripadanya keburukan atau bala setimpal nilainya dengan permintaannya itu.

(Dipetik daripada kitab Pengubatan Dengan Doa karangan Said bin Ali Al-Qahtaniy)

Wallahu a'lam

Saturday, January 24, 2009

Bertudung Biarlah Mengikut Syariat Bukan Adat

Pada hari ini ramai yang bertudung tetapi seolah-olah bertelanjang. Apa tidaknya, memakai tudung hanya trend dan fesyen. Bertudung tetapi berseluar ketat, bertudung baju ketat, bertudung tetapi berlengan pendek, bertudung tetapi memakai skirt singkat, bertudung tetapi berkain belah, bertudung tetapi tidak labuh menutup dada. Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini di dalam masyarakat kita.

Fenomena yang berlaku, nabi kita Muhammad saw telah memperingatkan kepada kita sejak 1400 tahun dahulu.

Bermaksud
Di akhir zaman akan berlaku di kalangan umatku wanita yang berpakaian seperti telanjang. Atas kepala mereka seperti bonggol unta, laknatlah mereka kerana wanita yang dilaknat

Hadis tersebut nabi sudah menjangka akan berlaku kepada wanita-wanita dari umatNya di akhir zaman nanti, ada yang memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat, nipis sehingga menampak kulit, ketat hingga menampak labu punggung, pinggang, bonjolan buah dada, rusuk dan lain-lain, rambut digubah mengikut fesyen semasa sehingga terjadi seperti bonggol unta yakni tinggi membonggok. Mereka dilaknati Allah di dunia dan menjadi penghuni neraka di akhirat kelak.

Sebenarnya fenomena mendedahkan aurat sudah balik sebelum tahun 1980 an iaitu awal abad 15 hijrah. Pada ketika mula kebangkitan, orang yang mendedahkan aurat dianggap pelik. Pengalaman saya sewaktu berada di UKM dahulu, hendak mencari pelajar Islam yang tidak bertudung seorang dalam sepuluh orang agak payah. Sekarang berlaku sebaliknya. Pada hari ini kalau muslimat yang memakai tudung dan berjubah di pusat membeli belah seolah-olah rusa masuk kampung. Anggapan mereka, bertudung seperti itu tidak mengikut trend. Bertudung ikut syariat nampak tua.

Marilah kita muhasabah diri kita dan ahli keluarga kita supaya menghayati dengan surah al-Nur ayat 31,
“…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka; (al-Nur, 31)

Yakni hendaklah mereka melabuhkan tudung kepala mereka hingga menutupi leher dan dada mereka . Al-Juyub dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Jaib iaitu bulatan atau belahan pada bahagian atas baju yang dibuat untuk mamasukkan kepala ketika memakainya (iaitu leher baju).

Namun yang dimaksudkan ialah kawasan belahan atau bulatan tersebut pada badan iaitu bawah leher bahagian atas dada di mana kawasan tersebut termasuk dalam aurat yang mesti ditutup maka kerana itu diperintahkan supaya dilabuhkan tudung hingga ke situ. Menurut ulama’ ayat ini sekali gus menjadi dalil bahawa dada dan leher perempuan adalah aurat. Tidak harus dilihat oleh ajnabi dan oleh itu tidak harus didedahkan kepadanya.

Diriwayatkan bahawa Saidatuna Aishah r.a pernah menceritakan “Semoga Allah merahmati wanita wanita Muhajirin yang awal di mana takkala Allah menurunkan ayat ini, mereka segera mengambil kain kain yang ada pada mereka lalu bertudung dengannya"

Menurut ahli Tafsir menjadi kebiasaan wanita-wanita pada zaman jahiliah berjalan di hadapan kaum lelaki dalam keadaan terdedah dada leher mereka serta menampakkan lengan mereka. Adakalanya mereka mendedahkan tempat-tempat fitnah pada badan mereka dan melepaskan ekor-ekor rambut mereka bertujuan membangkitkan perasaan ghairah kaum lelaki pada mereka. Apabila memakai tudung kepala , mereka melepaskan kebelakang mereka (yakni ke punggung mereka). Adapun bahagian depan dibiarkan tanpa menutup menyebabkan terdedah leher dan dada mereka.

Apabila datangnya Islam , Allah memerintahkan wanita-wanita beriman agar melabuhkan tudung-tudung mereka ke bahagian depan mereka hingga menutup dada dan leher mereka dan dengan itu selamatlah mereka dari sebarang fitnah dan perbuatan jahat. Oleh itu tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita pada hari ini tidak menepati dengan syara’ kerana ia tidak menutup dada sehingga menimbulkan keghairahan kepada orang lelaki. Begitu juga kalau bertudung tetapi memakai baju yang berlengan pendek dan baju yang ketat. Ini tidak termasuk di kalangan wanita yang beriman dengan surah al-Nur.



Hikmah wanita diwajibkan menutup aurat

Setiap sesuatu yang diperintahkan Allah mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri. Antara hikmahnya ialah :

1.Untuk menutup pintu fitnah kerana ia merupakan punca tercetusnya keinginan yang ada dalam diri manusia. Apabila keinginan nafsu mempengaruhi hati, biasanya seorang itu hilang pertimbangan akal lalu mudahlah ia melakukan perbuatan mungkar mengikut apa yang diperintah oleh nafsunya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud :

Tidak ada selepasku ini fitnah yang lebih bahaya kepada lelaki selain daripada perempuan

2.Untuk menghindarkan kegiatan maksiat yang berpunca dari mata. Seluruh tubuh wanita atau bahagian-bahagian tertentu dari tubuh lelaki menjadi daya penarik yang mempesonakan pandangan mata kaum pihak yang berlainan jenis. Dari rasa persona itu boleh menajamkan keinginan ke arah melakukan maksiat seperti zina dan sebagainya.

3.Pandangan mata ada kaitan dengan hati. Mata yang selalu melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan atau lelaki menyebabkan hati menjadi gelap. Hati yang gelap tidak dapat ditembusi cahaya nur keimanan, manakala Iman yang lemah tidak dapat melahirkan individu muslim yang benar-benar taqwa.

Oleh itu amalan menutup aurat adalah untuk menolong seorang lain daripada terlibat dengan dosa dan menjejaskan imannya akibat memandang aurat yang sengaja didedahkan oleh sipelakunya. Sesungguhnya amat buruk perbuatan seseorang yang kerananya menyebabkan orang lain terpalik dosa.

4.Wanita solehah diperintah menutup aurat dengan sempurna adalah untuk membezakan dengan wanita Islam yang rosak akhlak atau wanita kafir. Wanita-wanita tersebut biasanya tidak tahu menghargai nilai kesopanan diri. Mempamerkan kecantikan tubuh untuk mendapat pujian orang lain adalah menjadi kebanggaan mereka. Demikianlah rendahnya moral mereka. Tabiat ini seharusnya tidak menguasai peribadi wanita-wanita mu’min dan mereka semua diarah menjaga ketinggian maruah diri yang dibentuk oleh Islam menerusi tingkah laku yang baik.

5.Keseluruhan hidup setiap individu Muslim tertakluk kepada disiplin yang ditentukan syarak. Perintah menutup aurat adalah disiplin yang dimaksudkan itu. Di samping mengandungi hikmah tertentu, peraturan mengenai aurat itu adalah sebagai ujian iman ke atas umat Islam untuk mengukur sejauh mana peraturan tersebut dapat dipatuhi. Pengakuan dengan lidah sahaja bahawa ia telah pun beriman sebenarnya tidak akan diiktiraf oleh Allah tanpa lulus ujian amali.

Ini dipersyaratkan oleh Allah berbunyi,

“Apakah manusia menyangka mereka dibiar berkata kami telah beriman sedang mereka tidak diuji (keimanannya)” (Al-Ankabut, 29: 2)

Sekiranya seorang itu sanggup patuh kepada disiplin Islam sepanjang hayatnya, maka itu tanda orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya dan jika sebaliknya, maka ia belum layak lagi menduduki taraf Muslim yang mu’min kerana imannya masih lemah. Seorang yang imannya lemah perlu dipertingkatkan dengan rawatan rohani sebelum dijemput ke alam barzakh. Oleh itu waspada sebelum terlambat.

Bentuk pakaian perempuan yang beriman

1. Harus menutup semua badan, selain daripada yang telah dikecualikan oleh al-Quran dalam firmannya:“Apa-apa yang biasa tampak” (Al-Nur, 31)

Menurut pendapat yang lebih kuat, iaitu muka dan dua tapak tangan.

2. Tidak nipis sehingga nampak kulit. Sebab sesuai apa yang dikatakan Nabi:

Sesungguhnya termasuk ahli neraka, yaitu perempuan- perempuan berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Muslim)

Maksud berpakaian tetapi telanjang, yaitu: pakaian mereka itu tidak berfungsi menutup aurat, sehingga dapat mensifati kulit yang di bawahnya justru kerana nipis dan sempitnya pakaian itu. Beberapa orang perempuan dari Bani Tamim masuk rumah Aisyah, dengan berpakaian yang sangat tipis, kemudian Aisyah berkata: “Kalau kamu sebagai orang mu’min, maka bukan ini macamnya pakaian orang- orang perempuan mu’min itu.” (Riwayat Thabarani dan lain-lain).
Ada pula seorang perempuan yang baru saja menjadi pengantin, dia memakai tudung yang sangat nipis sekali, maka kata Aisyah kepadanya: “Perempuan yang memakai tudung seperti ini berarti tidak beriman dengan surah an-Nur.”

3. Tidak ketat sehingga menampak bentuk anggota badan dan menampakkan bahagian-bahagian yang cukup menimbulkan fitnah dan membangkitkan syahwat. Sedang yang memakainya itu sendiri seperti berpakaian tetapi telanjang.

4.Bukan pakaian yang dipakai oleh orang laki-laki seperti di zaman kita sekarang ini. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah melaknat perempuan-perempuan yang menyerupai laki-laki, dan laki- laki yang menyerupai perempuan. Begitu juga Rasulullah s.a.w. pernah melarang perempuan memakai pakaian laki-laki dan laki-laki memakai pakaian perempuan.
Sabda Rasulullah s.a.w

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW melaknati lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan memakai pakaian lelaki”.

Kesimpulan

Keseluruhan ulama’ Islam bersepakat bahawa wanita dan lelaki Islam wajib menutup auratnya. Mendedahkan aurat hukumnya adalah haram dan berdosa. Marilah sama-sama kita menghayati surah al-Nur dalam kehidupan keluarga kita dan jamaah kita. Biarlah orang melihat ahli jamaah kita ada tamayyuz (beza) dengan orang lain. Secara tidak langsung akan menarik perhatian masyarakat untuk bersama dengan perjuangan kita.
(Artikel ini ana perolehi daripada tok guru ana, Ustaz Idris Ahmad http://idrisahmad.wordpress.com)
Jazakallah khairan kathira, ustaz

Saturday, January 17, 2009

Sebab-Sebab Doa Tidak Dimakbulkan

Ibrahim Adham merupakan seorang ulama terkemuka pada abad ke-VII H. Beliau pernah ditanya oleh penduduk Basra sebab doanya tidak dimakbulkan Allah. Ibrahim Adham menjawab, “Sesungguhnya ketahuilah oleh kamu bahawa terdapat sepuluh sebab kenapa doa itu ditolak. Antaranya:”

1. Kamu mengaku mengenal Allah, tetapi kamu tidak memenuhi hak-hak Nya (mematuhi suruhanNya serta meninggalkan segala laranganNya)

2. Kamu mengaku mencintai Rasulullah tetapi kamu tidak mengikuti sunnahnya.

3. Kamu membaca Al Quran tetapi kamu tidak mengamalkan segala isi kandungannya.

4. Kamu mengaku bahawa syaitan adalah musuhmu tetapi kamu mengikuti suruhannya.

5. Kamu berdoa memohon dijauhi dari api neraka tetapi kamu mendekatinya dengan berbuat maksiat.

6. Kamu berdoa semoga dimasukkan ke dalam syurga tetapi kamu tidak berusaha untuknya.

7. Kamu tahu bahawa kemaian itu pasti tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.

8. Kamu selalu membuka keaiban saudara kamu tetapi kamu tidak melihat keaiban diri kamu sendiri.

9. Kamu memakan rezeki dan nikmat Allah tetapi kamu tidak mahu mensyukurinya.

10. Kamu mengebumikan orang-orang yang meninggal dunia tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.


Sesungguhnya kemungkinan salah satu perkara tersebut menjadi penyebab mengapa doa kamu tidak dimakbulkan.” Demikianlah penjelasan ulama tersebut.

Friday, January 9, 2009

Hakikat Doa (dipetik dari kitab Bisikan Nurani: Himpunan Doa)

Keistimewaan dan Faedah Berdoa
  1. Mententeramkan jiwa dan penenang hati. Firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Ar Ra'du:28)
  2. Sebagai pembuka pintu rahmat. Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami bermaksud: "Doa itu adalah anak kunci pintu rahmat."
  3. Doa amat disukai Allah, maka sesiapa yang selalu berdoa, ia akan dikasihi oleh Allah.
  4. Sebagai pelindung dari godaan syaitan dan menambahkan kekuatan iman.
  5. Doa merupakan penghubung antara ibu bapa dan anak-anak. Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: "Tiga doa yang pasti dikabulkan oleh Allah, dan pasti tidak ada syak padanya. Doa orang yang teraniaya, doa orang yang sedang musafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya."
  6. Doa sebagai ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Firman Allah yang bermaksud: "Hai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu pengajaran dari Tuhan kamu dan Penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada ...." (Yunus: 57)