Friday, August 20, 2010

Rahsia Puasa

Allah berfirman di dalam Hadis Qudsi:

"Setiap kebaikan itu dibalas sepuluh kali lipat ganda hingga 700 kali ganda kecuali puasa, kerana puasa itu bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Demi Allah yang menguasai nyawa Muhammad, sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau misik (kasturi)."

Allah berfirman:

"Sesungguhnya dia meninggalkan syahwat dan makanan serta minumannya demi Aku, maka puasa itu bagi-Ku dan Aku yang membalasnya."

Puasa itu ada 3 tingkatan baginya. Puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus dari yang khusus.

Puasa umum itu adalah menahan perut dan kemaluan dari memenuhi syahwat.
Puasa khusus adalah mencegah pendengaran, lisan, tangan dan kaki serta anggota tubuh dari dosa.
Adapun puasa khusus dari yang khusus adalah puasa hati dari kemahuan-kemahuan yang rendah dan fikiran duniawi serta mencegahnya dari selain Allah secara keseluruhannya.

Ada beberapa perkara yang merosak hakikat puasa. Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Lima perkara yang merosak hakikat puasa pada seseorang, iaitu dusta, ghibah (menggunjing orang lain), namimah (mengadu domba), sumpah dusta dan pandangan dengan syahwat."

Patutlah seseorang tidak makan terlalu banyak dari makanan yang halal supaya tidak memenuhi perut, kerana hal itu dibenci oleh Allah SWT. Pahitlah hati seseorang menjadi bimbang antara harap akan redha Allah dan rasa takut apakah puasanya diterima atau hanya lapar, haus dan payah. Dikatakan:

"Adakalanya seseorang tidak menghasilkan apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan payah, kerana yang dimaksud oleh puasa itu adalah menekan syahwat dan bukan hanya terbatas pada ketiadaan makan dan minum. Barangkali ia memandang yang terlarang, melakukan ghibah, namimah, atau berdusta. Maka semua itu membatalkan hakikat puasa."


Petikan Ringkasan Ihya' Ulumuddin oleh Imam Al Ghazali.

No comments: