Wednesday, October 22, 2008

Media dan Pembentukan Akhlak

Assalamualaikum warahmatullah

Sekadar memberi sedikit pandangan berkaitan media dan sumbangannya kepada pembentukan akhlak.

Kita di Malaysia mengalami perkembangan media massa yang cukup drastik. Pengaruhnya juga terlalu kuat terhadap pemikiran sekaligus pembentukan akhlak rakyat Malaysia.

Mengapa saya mengatakan sedemikian? Saya fikir semua orang pasti dapat melihat dan merasakannya. Berapa banyak jenayah yang berlaku dewasa ini? Jenayah kolar biru, kolar putih, kolar hijau dan yang tak berkolar sekalipun.

Setiap hari kita dihidangkan di dada-dada akhbar, tv, radio dan internet dengan berita-berita jenayah. Manusia semakin pintar menggunakan taktik-taktik yang di luar jangkaan kita sebagai manusia yang waras, semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu mereka.

Ada yang mengebom semata-mata untuk mendapatkan wang dari mesin ATM, membunuh dengan pelbagai cara yang tidak pernah kita terfikir, merogol...usah kata lah. Ada saja ikhtiar jahat yang dilakukan untuk melampiaskan hawa nafsu jahatnya. Tak kira tempat, masa dan usia.

Pernahkah kita terfikir apakah punca berlakunya perkara-perkara seperti ini? Jika kita katakan kurangnya ilmu dan pendidikan....masih boleh diterima. Adakah sistem pendidikan kita hari ini tidak berjaya? Kalau tidak...masa kan kita melahirkan 25,000 orang graduan yang 'menanam anggur'? Mereka itu dalam kategori berpendidikan. Ya..mereka berpendidikan. Tapi pendidikan jenis apakah yang mereka perolehi...? Fiddunia wal akhirat?

Saudaraku,
Kita diberitakan dengan beberapa pandangan jumhur ulama' bahawa kebangkitan Imam Mahdi adalah di timur. Tidakkah negara kita tergolong dalam kategori negara di timur?

Kafir laknatullah amat gentar akan kebangkitan Islam yang semakin menjadi-jadi di negara-negara barat. Setiap hari 67 orang di USA yang menganut Islam. Di negara kita? Setiap hari ada saja kes murtad dan jenayah.

Bagaimana mereka (kafir laknatullah) itu mempengaruhi sikap, minda dan pegangan kita? Tidakkah kita hari ini dihidangkan dengan hiburan pelbagai bentuk untuk semua peringkat umur. Media pula semakin hebat mempromosikan program-program untuk menarik golongan yang lalai ini menghabiskan masa untuk mereka. Berapa banyakkah program yang disajikan berunsur ilmiah, mengajak kepada pembentukan moral yang tinggi, sekaligus membentuk akhlak insan sebagai seorang Muslim?

Sudahlah rancangan realiti yang melambak-lambak. Baru-baru ini saya terkejut bila timbul pula rancangan realiti untuk kanak-kanak oleh salah satu saluran tv swasta. Begitu sekali pengaruh jahat ini meresap ke akar umbi. Mana taknya...bila dah dibentuk dari kecil terlompat-lompat sana sini.. terkinja-kinja tanpa arah...tidakkah ia akan terbawa-bawa hingga ia dewasa? Ia akan menjadi satu kebiasaan dan sebati dalam jiwa seorang kanak-kanak yang masih suci itu.
Sehingga sukar ia membuang sikap itu bila ia dewasa.

Apakah media sudah kepincangan idea sehingga meniru dan mencedok idea-idea barat dari segi rancangan di tv dan radio? Apakah mereka hanya memikirkan keuntungan sahaja dalam menyiarkan rancangan di stesen-stesen radio dan tv mereka?

Pemilik-pemilik stesen harus ingat....saham mereka amatlah besar menyumbang kepada keruntuhan akhlak manusia kini sekiranya mereka masih meneruskan program-program yang tidak membentuk peribadi mulia insan. Setiap sen yang diterima hasil pelaburan mereka akan dipersoalkan.... dari mana ia perolehi... ke mana ia peruntukkan. Sudah bersediakah anda wahai pemilik-pemilik stesen radio dan tv?

"Barangsiapa yang mengajar seseorang tentang kebaikan, lalu orang itu melakukannya...nescaya pahalanya sama seperti orang yang mengerjakannya. Dan barangsiapa yang mengajar seseorang melakukan kejahatan, ia akan menerima dosa setiap kali orang itu melakukan kejahatan itu sehingga akhir hayat." Hadith Shahih.

Elakkanlah menyiarkan rancangan-rancangan yang boleh membawa manusia kepada sifat rakus, dendam, berbunuhan, merosakkan akidah dan mengandungi pelbagai unsur yang boleh meruntuhkan akhlak.

Kita dikurniakan akal untuk berfikir, hati menerima. Justeru carilah yang terbaik supaya masa depan kita semua jadi lebih baik..dunia dan akhirat. Kita juga harus ingat, kita hidup dalam masyarakat berbilang bangsa. Tidak semua perilaku kaum lain boleh kita ikuti. Mesti ada batas-batas dan kaedah untuk membatasinya.

Renung... dan fikirlah...

Wallahu a'lam.



No comments: