Sunday, October 5, 2008

Ramadhan dan Syawal

Assalamualaikum warah matullah

Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Beruntunglah bagi yang berjaya memenuhinya dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri dengan Rabbnya. Merugilah bagi yang telah mensia-siakan kedatangan Ramadhan itu. Mana tahu itulah Ramadhan terakhir buat kita. Dan mana tahu kita tak berkesempatan bertemu Ramadhan akan datang.

Syawal tiba membawa kegembiraan bagi orang-orang yang berjaya. Ia berjaya menahan nafsunya dari mendepani akal dan fikirannya. Ia berjaya membanteras godaan nafsu yang terbias dari hasutan syaitan.

Kita dikhabarkan dek berita gembira dari Baginda Rasulullah s.a.w. bahawa pada bulan Ramadhan, iblis dan syaitan dirantai dan dibelenggu. Tapi bagaimanakah pula dengan golongan yang berperangai seperti makhluk tersebut pada bulan Ramadhan yang mulia? Adakah mereka itu manusia yang bertopengkan iblis? Ataukah sifat-sifat iblis telah sebati dengan jiwanya? Wal iya 'uzubillah.

Iaitulah mereka yang membelakangkan ayat-ayat Allah dan RasulNya. Mereka tidak segan-silu melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini. Jika selama sebelas bulan mereka bergelumang dengan dosa, maka mereka tidak merasakan kekok atau janggal untuk meneruskan kerja tersebut pada bulan Ramadhan.

Realitinya ,media tidak henti menyiarkan rancangan hiburan. Muda-mudi terlalu seronok dengan hiburan yang pelbagai bentuk. Tanpa halangan, dunia tanpa sempadan menghidangkan pelbagai agenda untuk tambah menyesatkan manusia yang telah sedia sesat. Bayangkanlah... ketika segolongan manusia asyik masyhuknya dengan hiburan yang menyesatkan itu, Allah menurunkan bala! Ke manakah manusia ini akan lari? Masih sempatkah mereka melarikan diri? Masih adakah tempat untuk mereka bersembunyi selain dari bumi Allah ini?

Pelbagai tragedi yang Allah datangkan pada bulan Ramadhan dan Syawal ini, bagi yang memikirkan.

DidatangkanNya berita gembira untuk menguji apakah hambaNya itu bersyukur?

Diuji hambaNya itu dengan kesedihan seperti kematian insan tersayang, bencana alam, dan kemiskinan yang datang tiba-tiba.. adakah hambaNya itu masih bersyukur?

Ramadhan kali ini saya melihat dengan sendiri golongan lelaki-perempuan bercanda seolah-olah tidak menghiraukan kemuliaan bulan Ramadhan. Paling menyedihkan sekumpulan manusia lelaki dan perempuan sedang enak menjamu selera di sebuah kedai makan yang sengaja dibuka untuk golongan yang tidak malu ini. Ada pula segelintir remaja lelaki 'Melayu' tanpa segan-silu menghembus asap rokok sambil menunggang motosikal. Bila saya tanyakan pada suami, 'orang apa tu yang tak malu sungguh'. Suami hanya berkata, 'mereka tu orang Melayu. Orang Melayu tak semestinya Islam. Kalau mereka tu orang Islam, taklah begini jadinya'.

Nabi s.a.w. bersabda, "Akan datang satu ketika Islam itu menjadi asing", hadith shahih.

Bagi yang masih berfikiran waras, fikirkanlah. Pandanglah segala yang ada pada diri kita, memadailah. Apa lagi kekurangannya pada diri kita yang Allah tak bagi? Semuanya serba sempurna. Mata yang Allah beri untuk melihat kebesaranNya. Hidung untuk membezakan yang harum dan yang busuk. Mulut untuk menuturkan kesyukuran kepadaNya. Telinga untuk mendengar perkara yang baik-baik.

Sebelum terlewat, ambillah kesempatan yang hanya tinggal sedikit ini. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.

Wallahu a'lam.

No comments: