Saturday, December 15, 2007

Hilangkan Duka Nestapamu

Hilangkan Duka Nestapamu Dengan Taqarrub kepada Yang Maha Mengetahui Yang Ghaib

Syeikh Ibnu al-Jauzi berkata, "Ketika aku berdepan dengan satu masalah yang menyesakkan dada sekian lama, aku berusaha menyelesaikan kebingungan ini dengan berfikir keras. Namun tidak kutemui jalan penyelesaiannya...kemudian aku ditunjukkan sepotong ayat, "Sesiapa bertaqwa kepada Allah, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar." (Surah At-Talaq:2). Selepas itu aku sedar bahawa ketaqwaan adalah jalan keluar dari kebingungan. Itu sebabnya aku berusaha meningkatkan ketaqwaanku, dan kutemui jalan keluar."
Aku pun mengambil kesimpulan, "Kebaikan bagi orang yang berakal adalah ketaqwaan. Tidak ada siksa kecuali kerana adanya dosa dan tidak seorang pun diangkat darjatnya kecuali dengan bertaubat. Sesungguhnya kekeruhan fikiran, kesedihan dan kegelisahan adalah akibat perbuatan maksiat yang anda lakukan, seperti lalai dalam sembahyang, mengumpat wanita muslimah, meremehkan hijab atau melakukan hal-hal yang diharam dan dimurkai Allah.
Sesungguhnya sesiapa yang melanggar ketentuan Allah terpaksa membayar perbuatannya dan perlu melangsaikan kelalaiannya. Yang menciptakan kebahagiaan adalah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, lalu mengapa anda memohon kepada yang lain? Jika manusia yang menguasai kebahagiaan, maka tiada orang yang miskin, orang yang sedih dan orang yang gundah-gulana.
Pedoman Hidup:
Tidak usah terlalu berfikir tentang sesuatu yang tidak penting dan membuatmu tidak bermaya. Eloklah lupakan sahaja. Sebaliknya, tumpukanlah fikiran untuk kejayaan kerana dengan begitu hatimu tidak akan terganggu.
"Aku adalah sebagaimana persangkaan hambaKu kepada Ku".

No comments: