Saturday, December 15, 2007

Setiap Hari Adalah Peluang Baru Untuk Direbut

Jika anda merasa telah mencapai apa yang anda cita-citakan, janganlah terus berpuas hati sebelum anda benar-benar telah mencecah bintang.
Menjauhkan diri daripada Allah hanya akan mendatangkan kehampaan dan rasa putus asa. Ketahuilah bahawa anugerah kecerdasan, kekuatan, kecantikan dan pengetahuan, semuanya akan berubah menjadi derita dan musibah jika tidak memperoleh taufik dan berkat dari Allah. Justeru itulah Allah mengingatkan manusia akan akibat buruk menjauhkan diri dariNya.
Sebagai contoh, katakanlah ketika anda sedang berjalan, tiba-tiba sebuah kereta dengan kelajuan yang tinggi sedang menghala ke arah anda. Anda yakin kenderaan itu pasti melanggar anda, meremukkah tubuh dan menghilangkan nyawa anda, kerana anda tidak punya masa untuk mengelak dan menyelamatkan diri. Sesungguhnya Allah ingin memberitahu hamba-hambaNya jika berhadapan dengan bencana dan kematian, kepada siapa mereka memohon keselamatan. Allah menganjurkan mereka untuk mencari keselamatan dengan cepat kepadaNya sahaja. Allah berfirman, "Maka segeralah kembali kepada Allah. Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata bagi kamu. Janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain di samping Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata bagi kamu." (Surah Az-Zariyat:50-51)
Peringatan 'kembali' di sini adalah membaharui jiwa, mengatur semula cara hidup, menjalin hubungan lebih baik dengan Allah, meningkatkan amal dan membuat janji sebagaimana termaktub dalam doa ini:
"Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Aku berada dalam janji dan akan menepati perjanjian itu semampuku. Aku berlindung daripada perbuatan buruk yang aku lakukan. Aku mengakui nikmatMu padaku. Aku mengakui dosaku. Ampunilah dosaku, sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau."
Pedoman Hidup
Jika dalam pekerjaanmu bertembung dengan masalah, jangan berputus asa, jangan susah hati dan bimbang. Yakinlah bahawa jalan keluar akan segera datang.
Melontarkan senyuman kepada saudaramu adalah sedekah.

No comments: